PERJALANAN MENUJU MIHRAB SULUK
- Setelah menziarahi Masjid Bandar Tawau, perjalanan saya teruskan ke satu lagi masjid di Tawau yang dibina pada sekitar 2003-2004. Masjid al-Kautsar ini terletak kira- kira 3 kilometer dari Masjid Bandar. Sesuai dengan keindahan Islam itu, masjid ini dibina cukup indah dengan ukiran- ukiran seni Islam dan ayat- ayat al Quran. Mamasukinya sahaja seolah- olah berada di dunia lain. Tenang dan 'mengasyikkan' terutama pengunjung yang ingin ber'suluk' di sini. Ketika memasukinya saya mengikuti arah jalan tengah 'carpet' biru menuju ke mihrab. Perasaan saya seperti sedang dalam perjalanan menuju pengadilan. Tidak ada sesiapa pun yang akan terlepas dari pengadilan Tuhan. Semasa dalam usia muda manusia mana yang mahu memikirkan tentang maksud perjalanan ini? Namun apabila usia mencecah 40an barulah manusia memikirkannya. Allah SWT tidak pernah melupakan kita, tetapi kitalah yang sering melupakan-Nya.
DERAP- DERAP TASBIH
- Saya menemui tasbih terbesar di pelusuk gerai bandar Tawau. Butiran tasbih ini mengingatkan saya kepada syeikh-syeikh, ulamak dan para da'i suatu masa dahulu tidak pernah berhenti jejari mereka 'membilang' zikir dan tahmid kepada Allah. Hari ini amalan bertasbih semakin dilupakan. Lihat sahaja tangan- tangan manusia hari ini, jejari mereka lebih tekun ber'SMS' dibandingkan dengan men'derap' tasbih untuk berhubung dengan Allah SWT. Kita bermohon sama- sama kepada Allah SWT agar hidup kita mendapat perolehan usia yang berkat dan penuh rahmat.
KERIS PELINDUNG
- Saya terpanggil untuk melihat beberapa bilah keris kecil dalam kotak yang dipamerkan di salah sebuah gerai menjual buku- buku agama. Selain buku- buku agama terdapat juga CD rakaman debat Islam-Kristian, nasyid dan lain- lain lagi di jual di gerai ini. Menurut pak Abdullah (pemiliki gerai) ramai orang yang datang berkunjung dan membeli barang- barang jualannya. Selain penduduk tempatan Sabah, gerainya turut dikunjungi oleh pelancong luar negara dan pegawai- pegawai kerajaan dari Semenanjung dan Sarawak.
Menurut pak Abdullah, keris- keris kecil yang dijualnya sudah 'diisi' (dibacakan penawarnya) dan berguna untuk pelindung daripada gangguan kejahatan manusia dan makhluk halus. Ia 'diisi' oleh seorang ahli yang sangat waskita dalam ilmu hikmah serta khadam dengan kekuatan batin dan 'supernatural' yang tinggi disertai dengan metafisika yang lazim disebut khadam.
Keris- keris kecil ini diberi nama seperti keris Kecil Zulfikar, Pedang Kecil Zulfikar, Mini Kojang, Mini Majapahit, dan Singo Barong. Harga bagi setiap bilah keris dijual dengan harga RM50.00.
Menginsafi dengan kekuasaan Allah SWT, manusia harus lebih berhati-hati dan berwaspada dengan sesuatu amalan yang tidak diketahui akan ilmunya. Ia dibimbangi membawa kepada kekhurafatan umat Islam.
Sesungguhnya menjejaki sisa usia di pinggir masa Tawau memberi kesan yang mendalam dalam diri saya. Dan saya berharap tulisan ini akan memberi inspirasi kepada bangsaku untuk bangkit membina maruah dan daulah Islami di muka bumi ini. Sesungguhnya hanya Allah SWT sahaja yang berkuasa kepada kita, maka hadapkanlah wajah kita dan bermohonlah kepada-Nya dari segala kejahatan manusia.
0 comments:
Post a Comment