PUSAKA bersama Program OUTREACH ROS, Negeri Sabah

Monday, November 26, 2012

 Ceramah pengurusan kewangan persatuan

 Puan Nur Sakinah binti Abdullah sedang membentang mengenai pengurusan kewangan persatuan

 Sesi dialog bersama pegawai ROS negeri Sabah

 dari kiri: encik Mahar Zemi Jawawi (Ketua Penguatkuasaan), encik Mathew A/K Dominic Barin (Pengarah JPPM, Sabah dan Tuan Asaad (Ketua Siasatan JPPM).

 Encik Mathew sedang menjelaskan sesuatu kepada para peserta.

 PUSAKA dan beberapa peserta dari persatuan lain

 PUSAKA menerima sijil penyertaan dari pengarah JPPM, Sabah

 Gambar beramai-ramai

 PUSAKA bersama Pengarah JPPM Sabah dan Ketua Siasatan JPPM

 Puan Jijah (PUSAKA) bersama Pengarah JPPM Sabah

PUSAKA bersama Puan Nur Sakinah

PANGALAY HA AGUNG

Friday, February 17, 2012

Sebaik sahaja lisagan kulintangan, gendang dan paluan gong dimainkan bersatu dalam satu rentak yang padu, seorang gadis dengan lembut melangkah masuk ke tengah majlis menyusun langkah dengan gerak tari lembut bagai seekor burung helang terbang tinggi.

Tidak lama selepas itu dengan gerak rentak yang tangkas seorang lelaki melangkah masuk membawa gong lalu menari bersama gadis itu.

Seketika, penonton terpegun apabila gadis itu naik dan mulai menari di atas gong dengan lembut dan sesekali dia meningkih di atasnya.

Itulah keunikan dan keistimewaan tarian ‘pangalay ha agung’ (pangalay gong) yang merupakan antara tarian tradisional masyarakat suku kaum Suluk di daerah Sandakan.

Dalam bahasa Suluk, pangalay berasal dari perkataan ‘alay’ yang membawa maksud rai yakni merai tetamu atau pembesar di sesuatu majlis seperti majlis perkahwinan, keramaian, majlis rasmi kerajaan dan merai pembesar-pembesar yang datang berkunjung ke kampung-kampung masyarakat Suluk.

Selain pangalay gong, terdapat juga beberapa lagi tarian pangalay lain yang menjadi lambang suku kaum Suluk seperti pangalay tempayan, pangalay talam, pangalay bambu, pangalay jin dan pangalay junjung gelas atas kepala. Mamansak (memancak), mengeluk dan linggisan juga dikatakan dalam kumpulan pangalay.

Bagi pangalay gong ia mempunyai keunikannya yang tersendiri. Selain pantang larang dan tatatertib, seorang penari pangalay harus memiliki ketenangan fikiran yang kuat agar dia boleh menjiwai tarian tersebut.

Antara pantang larang yang terdapat dalam tarian ini ialah hanya penari perempuan sahaja yang dibenarkan menari di atas gong. Sementara penari lelaki menari di sekelilingnya sambil ‘manangbay’ penari perempuan di atas gong berkenaan.

Pada zaman dahulu, gong merupakan salah satu alat kebesaran para pembesar suku kaum Suluk. Gong besar juga digantung di dalam rumah pembesar sebagai tanda kepimpinan, kehormatan dan keberanian. ‘Agung’ dalam bahasa Suluk ialah salah satu alat muzik utama berbentuk bulat dan berbenjol di tengah yang dipanggil gong dalam bahasa Melayu. Selain daripada itu gong bagi masyarakat Suluk juga bermaksud ketangkasan, kehandalan, keutamaan, keadilan dan kesejahteraan. Para pembesar dahulu juga menjadikan gong sebagai alat untuk memberitahu masyarakat jika ada sesuatu penngumuman dibuat. Gong ini dikenali sebagai gong pagtatawag. Selain itu dalam masyarakat Suluk jika ada kematian gong akan dipalu sebagai pemberitahuan kepada jiran tetangga dan penduduka kampung amnya bahawa berlaku kematian.

Gong dikatakan mempunyai kaitan dengan wanita Suluk. Masyarakat Suluk turut memandang tinggi darjat wanita. Ini sesuai dengan perintah agama bahawa kaum lelaki harus menghormati dan meletakkan wanita itu di tempat yang sepatutnya.

Berikutan dengan perkara inilah penari wanita sahaja yang dibenarkan menari di atas gong dengan tujuan untuk memberi penghormatan di tempat yang agung seperti gong. Lelaki tidak dibenarkan disebabkan; sebagai golongan yang memberi penghormatan tempat tidak harus baginya pula bersama-sama di tempat itu.

Presiden Persatuan Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Suluk (PUSAKA), Hatta Yunus @ Sawabi yang mesra dengan panggilan guru, berkata tarian pangalay gong ini mempunyai mesej dan cerita tentang perpaduan, keharmonian dan keagamaan.

Menurutnya, penari pangalay lazimnya akan di’biat’ yakni diberi ilmu khusus tentang tatatertib, kesopanan disamping adat yang perlu dijaga semasa menari di khalayak ramai oleh seseorang yang mahir tentang tarian ini.

“Biat merupakan kunci utama seorang penari pangalay. Tanpa ‘biat’ penari sukar untuk menjiwai tarian, sukar untuk bersatu dengan rentak muzik dan mesej yang akan disampaikan itu tidak akan sampai kepada penonton. Penonton akan mulai bosan dan yang sedihnya penari akan menari tanpa tujuan’, tambah beliau.

Pakaian bagi penari perempuan ialah baju kuput/batawi atau sablay, seluar sawwal dan habul tiyahian (sejenis kain yang ditenun) di’kendang’ di bahu. Hiasan penari ini terdiri daripada janggay yang dipakai disetiap jejari penari dan manakala hiasan di bahagian kepala seperti untaian rantai emas atau mutiara.

Manakala bagi penari lelaki memakai baju lapi’ berlapis baju senglet putih dan berseluar birinu yakni sejenis seluar yang berbelah di hujung hadapan seluar serta memakai pengikat kepala yang dipanggil pis. Alat yang dibawa semasa tarian ialah sebuah gong besar yang sesuai untuk dinaiki oleh penari perempuan.

Tarian pangalay gong ini ditari secara berpasangan lelaki dan wanita atau berkumpulan.

Peralatan muzik yang mengiringi gerak tari pengalay ini ialah kulintangan, gong dan tambur. Pembahagian bagi pemain alat ini seperti berikut, seorang untuk kulintangan, seorang untuk tung-tung, seorang untuk gendang dan dua orang untuk gong.

Tertib bagi pukulan akan didahului oleh kulintangan kemudian gendang dan terakhir menyusul ialah gong. Penari hanya akan masuk menari jika semua peralatan tersebut telah dimainkan.

Sungguhpun rentak muzik pangalay ini cepat namun gerak tariannya begitu lembut, perlahan bagai seekor burung helang yang terbang.

Tarian ini sememangnya amat jarang sekali ditonton di khalayak ramai apatah lagi di majlis- majlis tertentu. Kurangnya minat sebahagian generasi muda kini terhadap tarian tradisional Suluk ini merupakan antara faktor yang menyebabkan tarian ini mulai ‘pupus’.

Bertolak daripada ini Persatuan Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Suluk Sandakan (PUSAKA) dengan pimpinan Hatta bin Yunus@ Sawabi dibantu oleh Samad bin Batua mengambil resiko besar untuk mengangkat semula pangalay ini ke tengah masyarakat. Bermula tahun 2004 pangalay ini mulai diketengahkan di majlis- majlis keramaian. Berkat dengan usaha dan kerjasama semua ahli akhirnya pada tahun 2009 tarian pangalay gong telah diberi peluang untuk membuat persembahan di Festival Tarian Kebangsaan di Kuala Lumpur dan pada tahun 2011 di Festival Kebudayaan Antarabangsa di Tawau.

Sebagai persatuan yang berdaftar PUSAKA ini kini bergiat aktif untuk mengangkat semua tarian pangalay menerusi program yang dianjurkan sendiri oleh PUSAKA dan agensi-agensi kerajaan seperti bengkel tarian dan muzik, latihan berkala, seminar kebudayaan, pencarian bakat pangalay dan disamping itu PUSAKA juga mengadakan program berkaitan dengan persatuan-persatuan etnik yang lain.

‘PUSAKA tidak sahaja setakat untuk mengangkat kebudayaan Suluk lebih daripada itu fokus untuk penerbitan buku tradisional Suluk, pendidikan, ekonomi dan keagamaan turut ditekankan bagi melahirkan generasi yang berbudaya luhur selaras dengan kehendak kerajaan Malaysia menerusi modal insan yang berkualiti.’ kata guru Hatta.

‘Antara cita-cita PUSAKA ialah mewujudkan rumah budaya kaum Suluk dengan aktiviti-aktiviti budaya merangkumi tarian, makanan, pakaian dan adat istiadat yang berkaitan dengan Suluk. Rumah budaya Suluk ini tidak sahaja dapat mengekalkan budaya Suluk lebih daripada itu ia akan menjadi salah satu lagi daya tarikan pelancong di daerah Sandakan khususnya.’ tambahnya dengan penuh syukur.