Manusia yang memahami hakekat kepimpinan dan kepemimpinan seharusnya tidak perlu merasa gusar apabila tidak dipilih menjadi pemimpin. Umumnya kita sama- sama mengetahui bahawa menjadi pemimpin itu bermakna memikul sejuta tanggungjawab untuk rakyat dan negaranya.
Rasulullah SAW seorang yang membawa sejuta peradaban akhlak yang tinggi, spiritual dan integriti nasional yang hebat. Kebijaksanaan, kejujuran, kesopanan, keikhlasan, hubungannya dengan Allah SWT, alam dan manusia lain menggamit rasa hati sesiapa sahaja yang mengenali baginda. Justeru itu Allah SWT memimpinnya menjadi Nabi dan Rasul untuk sekalian umat manusia dan penghuni alam semesta yang lain. Rasulullah tidak meminta untuk dilantik menjadi pemimpin dan baginda juga tidak sesekali meminta masyarakat untuk memilihnya menjadi pemimpin. Hakikatnya Rasulullah SAW dipilih oleh Allah SWT untuk menjadi pemimpin. Setiap yang dikehendaki oleh Allah SWT pastinya akan dituruti dan diikuti oleh hamba- hambaNya juga. Jika Allah menghendaki seseorang itu menjadi pemimpin maka secara automatisnya kita wajib mengikuti pemimpin berkenaan.
Rumusnya ialah, pemmpin pilihan Allah sudah tersedia segala keperluannya ertinya pemimpin ini hanya perlu melaksanakan amanat Allah SWT. Hari ini, sesiapa yang ingin menjadi pemimpin perlu melaksanakan tuntutan Allah SWT iaitu dengan menunaikan perintahNya serta mencegah segala bentuk laranganNya. Menjadikan al Quran dan Asunnah sebagai panduan hidupnya dan solat sebagai 'paksi' utama dalam kepimpinanannya. Apabila tuntutan ini dapat ditunaikan, maka rakyatnya akan datang meminta naungan perlindungan dan bimbingan, rezekinya bertambah iaitu harta modal untuk memimpin akan diberikan oleh Allah SWT. Wujud negara berdaulah dan mendapat keampunan dari Allah SWT (Baldatun Tayibah wa rabbn ghafur). Al Ma'unah Allah SWT senantiasa menyusul, guna untuk melindunginya dari kejahatan manusia lain.
Firman Allah SWT:
"Dan kami jadikan mereka pemimpin-pemimpin yang memberi petunjuk dengan perintah Kami ketika mereka sabar, dan adalah mereka meyakini ayat- ayat Kami" (As-sajadah:24).
Tujuh sifat yang harus ada pada pemimpin:
at-Taaibuuna (senantiasa bertaubat kepada Allah)
al- 'aabiduuna (senantiasa beribadah)
al- haamiduuna (senantiasa bertahmid dan berzikir)
as- Saaihuuna (mengamalkan puasa wajib dan sunat)
ar- Raaki'uuna ( menunaikan Solat fardhu dan sunat)
al- amiruuna bilma'rufi wannahuuna 'anilmungkari (menyeru perbuatan ma'ruf dan mencegah perbuatan mungkar)
al- haafizuuna lihuduudillaah (memelihara hukum- hukum Allah)
Kesimpulannya, sebagai manusia asas ketertiban hukum Allah perlu ditunaikan terlebih dahulu. InsyAllah al-ma'unah Allah SWT akan menyusul kemudian. Sesungguhnya pemimpin yang dipilih oleh Allah SWT lebih barakah berbanding dengan pilihan manusia. Wallahu'alam.