MENDALAMI SEJARAH SULUK

Saturday, December 11, 2010



Ketua Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, Prof Madya Datuk Paduka Dr Rosli Saludin.

SUMBANGAN suku kaum pribumi yang tinggal di persisiran pantai timur Sabah terutama di daerah Sandakan, Tawau, Lahad Datu dan Semporna, dalam menyebarkan agama Islam dengan menggunakan tulisan jawi dibangkit pada Seminar Memartabatkan Keagungan Sejarah Suluk.

Timbalan Speaker Yang Dipertua Dewan Negara, Senator Datuk Armani Mahiruddin, mencadangkan tulisan jawi yang diguna pakai orang Suluk suatu ketika dulu bagi menyampaikan ilmu agama dihidupkan semula.

“Sejarah Suluk khususnya dan Sabah amnya perlu diletakkan di tempat yang unggul dan terbilang di mata dunia dan keunikan budaya Sabah perlu ditonjolkan pada persada antarabangsa,” katanya ketika merasmikan seminar di Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim, baru-baru ini.

Seminar anjuran Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa UPSI, membabitkan pembentangan kertas kerja Perbandingan Orang Suluk Sabah dengan orang Minangkabau di Negeri Sembilan oleh Ketua Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, Prof Madya Datuk Paduka Dr Rosli Saludin.



Encik Hatta Yunus@ Sawabi, Presiden PUSAKA

Prof Madya Dr Talib Samat membincangkan Tun Datu Mustapha bin Datu Harun: Bapa Kemerdekaan dan Pembangunan Sabah, Dr Ab Rahman Ab Rashid (Datu Paduka Mat Salleh, Pahlawan Terbilang Melayu Sabah); Nelly Gilob (Sejarah Asal Usul Suluk dan Kadazandusun), Nordiana Ab Jabar (Islam di Suluk); Yasmin Rosalind Mohd Hairi (Kepelbagaian kebudayaan suku kaum Suluk di Sabah) dan Hatta Yunus Sawabi (Masyarakat Suluk: Cabaran dan Masa Depan).

Beliau yang juga Yang Dipertua Alumni SMK Elopura Sandakan (Pengistilahan Bahasa Suluk di Sabah).

Armani pada seminar bertema Membangkitkan Sejarah Yang Terendam bercadang mengusulkan kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman untuk memberi peruntukan membina perkampungan tradisi Suku Suluk dan muzium Khas Suku Suluk.
“Ini akan memudahkan pengunjung luar Sabah khususnya dari Semenanjung Malaysia untuk mendalami suku Suluk di Sabah yang secara tidak langsung dapat meningkatkan pendapatan sektor pelancongan di Negeri Sabah,” katanya.

Dekan Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Prof Madya Dr Nor Azmi Mostafa berkata, seminar itu adalah kesinambungan program ‘Jelajah Masyarakat Suluk Sabah’ yang diadakan pada 29 Jun hingga 1 Julai lalu, di Sandakan Sabah.

“Dalam melihat sejarah sesuatu bangsa, ia perlu disusuli dengan ketinggian akal budi yang tidak didominasi oleh perasaan kita dalam menilai aspek tertentu. Masih banyak yang perlu dikaji dan diteliti mengenai Sejarah orang-orang Suluk di Sabah sehingga merentasi lautan Sulu.



“Ketinggian semangat patriotisme orang Suluk bukan saja hadir dalam diri orang Suluk, malahan turut diterapkan dalam diri suku kaum lain yang berada di Sabah dan Kepulauan Sulu, “ katanya pada seminar yang turut diserikan dengan persembahan tarian tradisional budaya Sabah oleh pelajar UPSI.

Seminar terbabit bertujuan menyingkap kembali sejarah asal usul keturunan Suluk, mendedahkan tentang adat, budaya, kesenian, longhat, sikap dan pemikiran bangsa suluk serta memberi pendedahan kepada mahasiswa untuk mengenali masyarakat Suluk secara lebih dekat.
Oleh Ihsan Noorzali/ bhsastera@nstp. com.my/2010/09/27

1 comments:

Merujuk pada maklumat bahawa Suluk punya "Tulisan Jawi" sebenarnya ia tidak dinamakan "Jawi" tetapi "Surat Sug".

Antara Tulisan Jawi dan Surat Sug atau tulisan Sug ialah Jawi tidak punya baris sedangkan Surat Sug mempunyai baris.

Sekadar pendedahan untuk manfaat bersama...

Post a Comment