GONG GONG GONG

Tuesday, January 26, 2010

Kunjungan susuranku ke kampung Sumangkap, Matunggong. Kudat membawa aku melihat gong terbesar di Borneo. Teruja juga diri aku, bila melihat gong setinggi 20 kaki.

Menatap sekali tidak cukup. Seni dan ukirannya menggamit seribu pertanyaan dan imbauan silam bangsaku. Gong adalah lambang kebesaran budaya di Nusantara. Bahkan sesetangah kaum di Sabah meletakkan pantang larang dalam permainan gong mereka. Dibimbangi ia membawa malapetaka kepada penduduknya jika tidak menjaganya. Ada juga yang berangapan bahawa gong adalah raja segala alat permainan tradisional dan tidak boleh dipijak atau dilangkahi. Di sesetengah tempat gong dijadikan sebagai alat untuk memaklumkan ketibaan pembesar-pembesar dengan memagongnya tidak kurang dari tiga kali pagongan. Dalam Suluk terdapat jenis gong Tawag yang bermaksud panggil. Malah semasa bengkel peralatan muzik tradisional (perkusi) Sabah, ada juga yang menamakan gong ini sebagai tetawag (makna dalam Suluk; alat untuk memanggil). Bagi masyarakat Suluk gong dikenali sebagai 'agung' sesuai dengan keagungannya pada era kegemilangan Kesulatanan Sulu sehingga kini.

'Agung' (meminjam kata dalam bahasa Suluk) kalau 'dipagong' (dipukul) akan menghasilkan bunyi semangat, desakan, kepahlawanan, cinta dan kuasa. Bunyiknya mampu untuk memberi debaran pada jantung setiap kali dipagong. Semangatnya inilah yang memberi 'roh' panjang terhadap 'agung' sehingga ke hari ini.
Kalaulah 'agung' ini boleh berbicara mungkin ia mempunyai peringatan penting daripada semangatnya yang masih kuat untuk masyarakat bangsaku Suluk. Antara lalaungan (laungan) 'agung'nya:
  1. 'bung..bung..bung...bung...bung...tukbung'. (fell headlong) ertinya mengapa bangsaku sudah mula melupakan warisan budaya. Ini membawa kepada insiden 'tukbung' iaitu, menghilangkan warisan budaya jauh dari kehidupan. Natijahnya generasi hari ini tidak tahu 'memagong'. Mereka hanya mampu memanjangkan kepala mereka ke bawah untuk melihat kemegahan budaya bangsa lain yang diwarisi sendiri dari zaman Kesultanan sejak dahulu.
  2. 'bung...bung....bung....bung.....bung... BUUUNG (rasa pening dan mahu pengsan). Ramai hari ini bila diminta untuk bermain ' agung' ada yang menolak kerana tidak tahu. Malah ada yang pening dalam diri sindiri. Maksudnya generasi hari ini sangat tidak berminat untuk mempelajarinya malah menyentuhnya pun terasa janggal. Pening kepala mereka bila diminta belajar. Natijahnya generasi hari ini liar dalam diri mereka sehingga membunuh semangat perjuangan sendiri dalam diri mereka. Mereka tidak kenal erti bangsa sendiri.

Dua perkara peringatan penting dari 'agung' untuk kita hari ini. Iaitu budaya, nilai moral (akhlak) sudah tidak berada dalam jiwa kita hari ini. "Biar mati anak, jangan mati adat". Anak merujuk kepada kita, manakala adat sebenarnya merujuk kepada nilai agama, akhlak dan budaya yang tidak bercanggah dengan ajaran Islam. Orang dahulu membiarkan anak- anak mereka pergi berjuang (berjihad) untuk membela bangsa (meliputi nilai peradaban diri) demi untuk mempertahankan nilai budaya. Bagi mereka generasi yang tidak tahu mempertahankan nilai itu tadi lebih baik tiada daripada nilai itu terus hilang. Lihat sahaja hari ini, generasi (anak) sendiri yang menjadi pembunuhnya!

Susuran saya di kampung Sumangkap membawa sejuta pengertian. Daripada susuran kali ini sememmangnya ada pro dan kontranya apabila gong berbicara. Masih banyak yang perlu difikir untuk direnung dan digubal agar ianya menjadi jambangan indah untuk semua. Saya akhiri nota dengan menarik nafas panjang sambil berkata, 'simampai da.......'.

0 comments:

Post a Comment